Pages

Khamis, 21 Julai 2011

Perisian Percuma Di Internet






              SETIAP komputer memerlukan perisian atau program untuk membolehkan ia beroperasi atau digunakan dalam menjalankan kerja-kerja diingini atau sebagai alat pembelajaran atau hiburan.
Kebanyakan perisian sama ada perisian sistem operasi (OS) atau perisian aplikasi adalah dikeluarkan oleh syarikat-syarikat komputer terkenal seperti Microsoft, Adobe, Oracle dan sebagainya.
Seperti yang diketahui, OS merupakan perisian yang menjadi ‘otak’ kepada tugasan komputer seperti perisian Windows 95, 98, XP dan sebagainya.
Manakala, perisian aplikasi merujuk kepada perisian atau program untuk melakukan kerja-kerja khusus seperti Word, Excel, Photoshop, Media Player dan sebagainya.
Harga perisian-perisian tersebut kadang kala agak tinggi untuk pengguna seperti pelajar membelinya kerana ia lebih disasarkan untuk pengguna profesional atau syarikat.
Bagaimanapun, para pelajar sebenarnya masih boleh mendapatkan perisian atau program-program komputer secara percuma di Internet, sama ada perisian OS atau perisian aplikasi.
Perisian OS Linux misalnya boleh diperolehi secara percuma di Internet tetapi ia masih perlu dipertingkatkan (diubahsuai) dan hanya sesuai untuk mereka yang arif dalam bidang perisian komputer.
Perisian percuma terbahagi kepada beberapa jenis seperti perisian Trialware, Freeware dan Shareware.
* Perisian Freeware ialah perisian yang boleh digunakan oleh pengguna tanpa apa-apa bayaran tetapi pemiliknya mengekalkan hak milik perisian tersebut.
Anda tidak boleh mengubahsuai perisian ini dan menjualkannya semula tanpa kebenaran pemilik asal.
* Perisian Trialware atau perisian percubaan pula boleh digunakan secara percuma tetapi dalam tempoh tertentu sahaja (seperti 30 hari) dan pengguna perlu membeli perisian jika masih berminat menggunakan produk tersebut.
Kebiasaannya perisian ini dihasilkan oleh syarikat-syarikat perisian untuk memberi peluang mencuba kelebihan yang ditawarkan apabila menggunakan perisian mereka.
* Perisian jenis Shareware juga boleh dicuba oleh anda tetapi kebiasaannya ia tidak mempunyai segala fungsi apabila anda membeli perisian penuh.
Selain itu, sesetengah syarikat meletakkan iklan dan pelbagai maklumat promosi setiap kali anda membuka atau menggunakan perisian shareware mereka.
Iklan dan promosi tersebut merupakan sebahagian daripada strategi syarikat untuk mendapatkan sumber kewangan selepas membangunkan produk tersebut. Bagaimanapun, apabila anda telah membeli perisian tersebut, iklan dalam bentuk baner tersebut akan hilang.
Antara perisian dari jenis shareware yang paling banyak digunakan oleh para pengguna Internet adalah WinZip iaitu perisian yang mampu membuka fail-fail yang telah disimpan dalam fail yang telah dikecilkan dalam format zip.
Sebenarnya, banyak laman-laman web yang menawarkan perisian shareware tersebut sama ada untuk kegunaan permainan, pendidikan, hiburan, aplikasi produktiviti, kewangan dan sebagainya.
Cara terbaik untuk anda mendapatkan perisian percuma di Internet ialah dengan mengunjungi laman-laman web tertentu yang menawarkan perkhidmatan tersebut seperti:
*laman web http://http://www.softpedia.com/
* laman web http://www.download.com
* laman web http://www.tucows.com
* laman web http://www.shareware.com dan banyak lagi yang terdapat di Internet.
Anda boleh mendapatkan senarai laman-laman web tersebut dengan menaip perkataan ‘free software’ dalam laman web enjin pencari seperti www.yahoo.com, www.google.com dan sebagainya.
Anda juga boleh mendapatkan pelbagai bahan-bahan untuk kegunaan komputer di laman-laman web yang menawarkan kemudahan memindah-terima (download) perisian tersebu.
Antara program paling popular ialah wallpaper, screensaver, permainan komputer, pemain MP3, pencepat Internet dan sebagainya.
Jika kita melawat laman web shareware yang stabil atau terkenal, kita boleh juga melihat komen serta rating yang diberikan oleh pengguna lain berkenaan dengan perisian tersebut untuk membantu kita membuat penilaian.
Bagaimanapun, pengguna dinasihatkan agar mendapatkan perisian atau program yang ditawarkan oleh laman-laman web yang terkenal atau boleh dipercayai sahaja.
Ini kerana untuk mengelakkan daripada kita memindah bersama virus atau trojan yang diletakkan dalam program yang dipindah turun ke dalam komputer kita.
Laman web yang selalu digunakan oleh penulis untuk memindah-turun program ialah download.com dan tucows.com yang telah lama terkenal dalam dunia Internet.
Penggunaan perisian percuma ini adalah digalakkan berbanding menggunakan perisian yang dibeli secara cetak rompak kerana kita telah melanggar undang-undang negara apabila berbuat demikian.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan