Pages

Khamis, 21 Julai 2011

Bagaimana Mendapatkan Maklumat Dikehendaki Di Internet





SERING kita lihat sesetengah rakan kita begitu sukar hendak mendapatkan maklumat yang mereka ingini walaupun telah berjam-jam berada di hadapan komputer dan melayari Internet.
Bagi mereka, Internet merupakan gedung maklumat yang terlalu besar dan terlalu sukar untuk membolehkan kita menuju ke laman-laman web berkaitan dengan maklumat diingini.
Kenyataan itu mungkin ada betulnya. Ini kerana mencari sesuatu yang dikehendaki di Internet tanpa menggunakan enjin carian boleh diibaratkan mencari maklumat di perpustakaan tanpa menggunakan sistem kad rujukan atau katalog yang disediakan.
Seperti yang diketahui, Internet sememangnya satu ciptaan menakjubkan menghubungkan berjuta-juta komputer dan merupakan gedung maklumat terbesar dengan mempunyai lebih 3 bilion dokumen.
Memandangkan ia merupakan satu dunia tanpa sempadan, sudah tentu kita akan mudah tersesat tanpa arah jika tidak mempunyai pengetahuan mencukupi untuk menggunakannya.
Kita seharusnya mengetahui bagaimana cara terbaik untuk menggunakan perisian pelayar Internet seperti
Internet Explorer atau Netscape Navigator yang menjadi aplikasi utama untuk melayari dunia web (Internet).
Kedua-dua perisian pelayar itu akan membolehkan anda melayari atau mengakses ke berjuta-juta laman web yang terdapat di dalam Internet yang setiap satunya mengandungi maklumat yang berlainan tujuan, rupa dan juga bentuk.
Kaedah yang biasa digunakan oleh para pengguna komputer untuk mencari maklumat dikehendaki ialah dengan menggunakan enjin pencari (atau gelintaran).
Enjin pencari ialah satu program komputer yang berfungsi untuk mengenalpasti laman web yang mengandungi istilah atau kata kunci yang ditaipkan pada laman web mereka.
Terdapat lebih daripada 300 enjin pencari di dalam Internet dan ada yang sentiasa dipertingkatkan keupayaan cariannya dan ada juga yang mengkhusus kepada sesuatu bidang sahaja.
Laman web enjin pencari terkenal masa kini adalah seperti www.altavista.com, www.google.com, www.yahoo.com, www.lycos.com, www.excite.com dan sebagainya.
Masing-masing menggunakan teknik pencarian tersendiri sama ada berasaskan carian-meta tag (seperti google.com atau altavista.com) atau menggabungkan dengan direktori seperti www.yahoo.com atau www.msn.com yang turut mempunyai pelbagai aplikasi lain seperti berita, e-mel dan sebagainya.
Bagaimanapun, kadang kala, walaupun kita menggunakan enjin pencari di laman web tersebut, kita masih keliru dengan maklumat diberi memandangkan ia akan mencadangkan beribu atau ratus ribu pautan laman web selepas ditaipkan perkataan dikehendaki.
Sudah tentu memeningkan untuk melihat satu demi satu pautan laman web yang dicadangkan tersebut jika ia berjumlah ratusan ribu.
Selain daripada menggunakan ruang carian dengan menaipkan pada kotak bahagian carian, anda juga sebenarnya boleh menggunakan direktori seperti yang ditawarkan laman web berbentuk portal seperti www.yahoo.com, www.msn.com.my dan sebagainya.
Anda boleh memilih mana-mana kategori yang disenaraikan pada direktori ini seperti pendidikan, berita, kesihatan, pelancongan dan sebagainya sehinggalah anda sampai ke laman web yang mengandungi maklumat dikehendaki.
Bagi golongan kanak-kanak, terdapat sebuah direktori yang mirip Yahoo! yang dinamakan Yahooligans! Ia merupakan panduan web untuk kanak-kanak dan remaja dan alamatnya ialah di www.yahooligans.com.
Terdapat juga laman web yang kita boleh mengemukakan soalan berbentuk ayat seperti "what is the best search engine" dan laman web itu akan mencadangkan laman web yang mengandungi maklumat dikehendaki. Laman web yang dimaksudkan ialah www.ask.com.
Bagaimana pula, jika kita hanya berminat untuk mencari maklumat yang berkaitan dengan negara kita.
Sebenarnya, kita juga boleh menggunakan perkhidmatan laman web enjin carian berbentuk portal tempatan seperti www.cari.com.my, www.catcha.com.my, www.msn.com.my, www.bluehyppo. com dan www.jaring.my.
Bagaimanapun, teknik pencarian boleh dipertingkatkan jika kita mengetahui cara terbaik menaip perkataan yang dikehendaki dengan menggunakan simbol tertentu seperti “....” yang hanya khusus mencari perkataan tersebut, menggunakan tanda + yang bermaksud dan, - yang bermaksud perkataan tersebut tidak dikehendaki dan sebagainya.
Jika anda hanya ingin mencari maklumat khusus seperti gambar, berita, direktori dan sebagainya, anda mungkin boleh menggunakan perkhidmatan www.google.com (agak popular), www.altavista.com atau www.alltheweb.com dan klik kepada bahagian image untuk mencari gambar, news untuk mencari berita dan sebagainya.
Kesimpulannya, anda akan merasa seperti berada dalam satu perpustakaan digital yang sangat bermanfaat jika bijak menggunakan laman-laman web enjin pencari ini dan sebarang maklumat akan diperolehi dengan lebih mudah termasuk di dalam bahasa Melayu.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan