Pages

Khamis, 21 Julai 2011

Memanfaat Bahan-Bahan Pembelajaran Dari Internet






SEMUA orang mengetahui mengenai Internet. Ia kini menjadi sumber pengetahuan atau maklumat terbesar pernah dicipta manusia kerana kemampuannya merangkaikan maklumat pada berjuta-juta komputer di seluruh dunia.
Jika bulan lepas, kita telah mempelajari bagaimana cara terbaik untuk mencari maklumat dalam Internet, estidotmy bulan ini cuba memudahkan lagi para pelajar dengan terus mencadangkan laman-laman web berkaitan pendidikan yang boleh dikunjungi mereka.
Usaha pencarian laman-laman web pendidikan tempatan kadang kala boleh menemui jalan buntu jika kita tidak benar-benar tahu di mana hendak bermula.
Misalnya, jika kita menaip perkataan `pendidikan’ pada enjin pencari www.yahoo.com, sebanyak 300,000 pautan laman web berkaitan pendidikan akan diberikan. Sudah tentu ia agak memeningkan, tambahan pula ia banyak memberikan laman web pendidikan dari Indonesia.
Sebenarnya, perkembangan Internet yang rancak di negara ini telah juga mendorong kepada penubuhan pelbagai laman-laman web berkaitan pendidikan yang boleh dimanfaatkan oleh para pelajar.
Laman web rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia di alamat www.moe.gov.my merupakan laman web pertama yang harus diketahui oleh semua para pelajar dan guru sekolah di negara ini.
Laman web ini menjadi penghubung dasar-dasar kementerian dengan para pelajar, guru dan pentadbir sekolah ke arah merealisasikan hasrat melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang di negara ini.
Bahan maklumat pembelajaran dan pendidikan untuk peperiksaan pula boleh diperolehi dari laman web MySchoolNet di alamat myschoolnet.ppk.kpm.my yang merupakan laman web dibangunkan oleh Kementerian Pendidikan sendiri.
Laman web ini ditubuhkan bertujuan memastikan pelajar, guru dan pentadbir sekolah mendapat manfaat sepenuhnya dari aktiviti dan maklumat pendidikan di Internet.
Laman web ini menawarkan pelajar dengan pelbagai maklumat termasuk melalui tutorial yang disediakan, bahagian mengetahui ilmu teknologi maklumat (IT), mengetahui aktiviti persatuan/kelab, kaunseling dan juga maklumat tahukah anda.
Laman web ini juga mempunyai berita terkini, jadual persekolahan, berita pendidikan, artikel pilihan dan motivasi diri, di samping bahan-bahan untuk guru dan pentadbir sekolah.
Bagi pelajar atau guru yang ingin mendalami ilmu IT lebih lanjut mengikut kurikulum sekolah, laman web Unit Teknologi Maklumat, Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan di alamat kdp.ppk.kpm.my merupakan laman web yang sesuai.
Selain dari laman-laman web yang diusahakan oleh kementerian tersebut, laman web pendidikan yang semakin terkenal iaitu Portal Pendidikan Utusan di alamat www.tutor.com.my juga merupakan pilihan terbaik.
Laman web ini menawarkan bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran secara percuma kepada para pelajar dan guru. Ia telah menyediakan bahan-bahan secara komprehensif untuk pelajar yang akan mengambil peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Ia juga mempunyai segmen tuisyen dalam talian melalui e-tuisyen, forum diskusi, e-permainan, e-kaunseling dan pelbagai bahan-bahan yang mampu meningkatkan tahap pemahaman pelajar dan keberkesanan pengajaran guru-guru.
Laman web Telekom Smart School di alamat www.getcybered.com juga merupakan laman web yang menawarkan para pelajar dengan pelbagai kandungan seperti tips peperiksaan, panduan pembelajaran, ujian dalam talian dan sebagainya.
Laman web Cikgu.Net di alamat www.cikgu.net.my yang diusahakan oleh MIMOS Berhad merupakan satu lagi laman web berkaitan bidang pendidikan di negara ini.
Para pembaca estidotmy yang berminat mengenai bidang sains juga boleh mendapatkan bahan-bahan pembelajaran sains dengan mudah dengan mengunjungi laman web estidotmy di alamatwww.tutor.com.my/estidotmy.
Bahan-bahan yang terdapat dalam edisi cetak majalah bulanan estidotmy boleh dicapai dari laman web ini dan ia amat berfaedah kepada para pelajar atau peminat sains yang ketinggalan versi cetakan majalah tersebut.
Laman SUP KIMIA di alamat www.geocities.com/Athens/Delphi/8904 misalnya merupakan laman web yang mampu membantu pelajar-pelajar Tingkatan 4 dan 5 yang ingin menguasai mata pelajaran kimia.
Laman web Kementerian Sains dan Alam Sekitar di alamat www.moste.gov.my pula membolehkan anda mengetahui perkembangan bidang tersebut di negara ini memandangkan ia menghubungkan kepada pelbagai agensi berkaitan.
Sebenarnya, terlalu banyak bahan-bahan pembelajaran yang boleh diperolehi melalui Internet dan ia bukan sahaja melibatkan laman web negara ini tetapi juga laman web antarabangsa.
Bagaimanapun, para pelajar harus bijak dalam usaha mencari laman web yang sesuai kerana selain daripada mengikut pautan laman-laman web yang diberikan oleh laman web tertera di atas, pelajar juga boleh berusaha sendiri dengan menggunakan enjin-enjin pencari yang lain..


Tiada ulasan:

Catat Ulasan